Ekspo Selangkah Ke UiTM 2017 telah diadakan di Dewan Agong Tuanku Canselor, UiTM Cawangan Selangor Kampus Shah Alam pada 25 & 26 Mac 2017, seawal 8:30 pagi dan berakhir pada 5:00 petang. Ekspo kali ini membawakan 24 fakulti daripada 13 cawangan selain turut disertai oleh 11 pusat akademik UiTM. Program yang menyasarkan 20,000 pengunjung khususnya kalangan remaja lepasan SPM, STPM, matrikulasi dan diploma ini telah mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan.

 

Ekspo ini bertujuan memberi gambaran awal dan pendedahan kepada orang ramai mengenai program-program yang ditawarkan di UiTM dengan lebih mendalam. Selain itu, orang ramai berpeluang mengajukan pertanyaan lebih lanjut kepada kakitangan UiTM dan para pensyarah agar mereka dapat membuat pilihan yang tepat berdasarkan keputusan peperiksaan telah berjaya diperoleh.

Profesor Emeritus Dato’ Dr Hassan Said selaku Naib Canselor UiTM turut turun padang untuk meluangkan masa bersama para pengunjung dan kakitangan-kakitangan UiTM. Timbalan Dekan Akademik Fakulti Sains Kesihatan, Professor Dr Zulkhairi bin Amom juga diamanahkan memberi taklimat kepada para pengunjung berkenaan pengajian yang ditawarkan di Fakulti Sains Kesihatan.

Ikhwan Aziz Mohd Rosli, pelajar lepasan MRSM Pasir Salak yang ditemubual memberikan respon positif dengan mengatakan, "Ekspo ini sangat bagus untuk pelajar lepasan SPM seperti kami terutamanya, kerana sebelum ini kami di sekolah tidak begitu terdedah dengan dunia luar. Jadi, program ini dapat membuka mata kami tentang pendidikan dan kerjaya selepas SPM yang lebih luas dan mencabar." Syazwan dari MRSM Kuala Selangor pula berharap agar program seperti ini dapat diadakan setiap tahun.

Dengan ini, jelaslah bahawa ekspo ini mampu memberi impak yang positif dan input yang berguna bagi membantu generasi muda yang bakal melanjutkan pengajian dalam membuat pilihan yang tepat demi masa depan yang lebih gemilang. Menjadikan program seperti ini sebagai program tahunan UiTM pastinya adalah satu langkah yang signifikan dalam memacu arus pendidikan tinggi negara dalam melahirkan lebih ramai graduan berminda kelas pertama.– Lensa FSK


Click here for video