5 Jun 2024 - Fakulti Sains Kesihatan telah mengadakan Majlis Perasmian Pusat Rehabilitasi dan Perkhidmatan Klinikal FSK pada pagi tadi. Majlis yang berlangsung di Lobi Bangunan FSK 2,3,4 ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Omar Shariff Mydeen, Ahli Lembaga Pengarah UiTM.
Majlis ini dilancarkan bersempena dengan Sambutan 20 Tahun FSK pada tahun ini. Ia juga bertujuan untuk mempromosikan perkhidmatan yang ditawarkan oleh FSK kepada orang awam dan warga UiTM.
FSK menawarkan perkhidmatan melalui lima buah klinik dan dua buah makmal iaitu Pusat Fisioterapi Fakulti Sains Kesihatan Uitm, Pusat Terapi Cara Kerja, Pusat Terapi Diet FSK, UiTM Mobile Nursing Care, Makmal Diagnostik dan Makmal Pengimejan Perubatan.
Perkhidmatan yang pelbagai ini bukan sahaja boleh dinikmati oleh warga UiTM malah turut ditawarkan kepada orang awam dengan kadar bayaran yang berpatutan.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada Puan Norfaridah A. Aziz selaku pengarah program dan seluruh ahli jawatankuasa kerana telah bertungkus lumus menjayakan majlis yang penuh bersejarah buat FSK ini.